KISAH NABI MUHAMAD SAW.

Semasa umat manusia dalam
kegelapan dan suasana
jahiliyyah, lahirlah seorang bayi
pada 12 Rabiul Awal tahun Gajah
di Makkah. Bayi yang dilahirkan
bakal membawa perubahan besar bagi sejarah peradaban manusia.
Bapa bayi tersebut bernama
Abdullah bin Abdul Mutallib yang
telah wafat sebelum baginda
dilahirkan iaitu sewaktu baginda
7 bulan dalam kandungan ibu. Ibunya bernama Aminah binti
Wahab. Kehadiran bayi itu
disambut dengan penuh kasih
sayang dan dibawa ke ka’abah,
kemudian diberikan nama
Muhammad, nama yang belum pernah wujud sebelumnya. Selepas itu Muhammad disusukan
selama beberapa hari oleh
Thuwaiba, budak suruhan Abu
Lahab sementara menunggu
kedatangan wanita dari Banu
Sa’ad. Adat menyusukan bayi sudah menjadi kebiasaan bagi
bangsawan-bangsawan Arab di
Makkah. Akhir tiba juga wanita
dari Banu Sa’ad yang bernama
Halimah bin Abi-Dhuaib yang pada
mulanya tidak mahu menerima baginda kerana Muhammad
seorang anak yatim. Namun
begitu, Halimah membawa pulang
juga Muhammad ke pedalaman
dengan harapan Tuhan akan
memberkati keluarganya. Sejak diambilnya Muhammad sebagai
anak susuan, kambing ternakan
dan susu kambing-kambing
tersebut semakin bertambah.
Baginda telah tinggal selama 2
tahun di Sahara dan sesudah itu Halimah membawa baginda
kembali kepada Aminah dan
membawa pulang semula ke
pedalaman. Kisah Dua Malaikat dan
Pembedahan Dada Muhammad Pada usia dua tahun, baginda
didatangi oleh dua orang
malaikat yang muncul sebagai
lelaki yang berpakaian putih.
Mereka bertanggungjawab untuk
membedah Muhammad. Pada ketika itu, Halimah dan suaminya
tidak menyedari akan kejadian
tersebut. Hanya anak mereka
yang sebaya menyaksikan
kedatangan kedua malaikat
tersebut lalu mengkhabarkan kepada Halimah. Halimah lantas
memeriksa keadaan Muhammad,
namun tiada kesan yang aneh
ditemui. Muhammad tinggal di pedalaman
bersama keluarga Halimah selama
lima tahun. Selama itu baginda
mendapat kasih sayang,
kebebasan jiwa dan penjagaan
yang baik daripada Halimah dan keluarganya. Selepas itu baginda
dibawa pulang kepada datuknya
Abdul Mutallib di Makkah. Datuk baginda, Abdul Mutallib
amat menyayangi baginda. Ketika
Aminah membawa anaknya itu ke
Madinah untuk bertemu dengan
saudara-maranya, mereka
ditemani oleh Umm Aiman, budak suruhan perempuan yang
ditinggalkan oleh bapa baginda.
Baginda ditunjukkan tempat
wafatnya Abdullah serta tempat
dia dikuburkan. Sesudah sebulan mereka berada
di Madinah, Aminah pun bersiap
sedia untuk pulang semula ke
Makkah. Dia dan rombongannya
kembali ke Makkah menaiki dua
ekor unta yang memang dibawa dari Makkah semasa mereka
datang dahulu. Namun begitu,
ketika mereka sampai di Abwa,
ibunya pula jatuh sakit dan
akhirnya meninggal dunia lalu
dikuburkan di situ juga. Muhammad dibawa pulang ke
Makkah oleh Umm Aiman dengan
perasaan yang sangat sedih.
Maka jadilah Muhammad sebagai
seorang anak yatim piatu.
Tinggallah baginda dengan datuk yang dicintainya dan bapa-bapa
saudaranya. “Bukankah Dia mendapatimu
sebagai seorang yatim, lalu Dia
melindungimu. Dan Dia
mendapatimu sebagai seorang
yang bingung lalu Dia memberikan
petunjuk” (Surah Ad-Dhuha, 93: 6-7) Abdul Mutallib Wafat Kegembiraannya bersama datuk
baginda tidak bertahan lama.
Ketika baginda berusia lapan
tahun, datuk baginda pula
meninggal dunia. Kematian Abdul
Mutallib menjadi satu kehilangan besar buat Bani Hashim. Dia
mempunyai keteguhan hati,
berwibawa, pandangan yang
bernas, terhormat dan
berpengaruh dikalangan orang
Arab. Dia selalu menyediakan makanan dan minuman kepada
para tetamu yang berziarah dan
membantu penduduk Makkah
yang dalam kesusahan.
Muhammad diasuh oleh Abu Talib Selepas kewafatan datuk
baginda, Abu Talib mengambil alih
tugas bapanya untuk menjaga
anak saudaranya Muhammad.
Walaupun Abu Talib kurang
mampu berbanding saudaranya yang lain, namun dia mempunyai
perasaan yang paling halus dan
terhormat di kalangan orang-
orang Quraisy.Abu Talib
menyayangi Muhammad seperti
dia menyayangi anak-anaknya sendiri. Dia juga tertarik dengan
budi pekerti Muhammad yang
mulia. Pada suatu hari, ketika mereka
berkunjung ke Syam untuk
berdagang sewaktu Muhammad
berusia 12 tahun, mereka
bertemu dengan seorang rahib
Kristian yang telah dapat melihat tanda-tanda kenabian pada
baginda. Lalu rahib tersebut
menasihati Abu Talib supaya
tidak pergi jauh ke daerah Syam
kerana dikhuatiri orang-orang
Yahudi akan menyakiti baginda sekiranya diketahui tanda-tanda
tersebut. Abu Talib mengikut
nasihat rahib tersebut dan dia
tidaak banyak membawa harta
dari perjalanan tersebut. Dia
pulang segera ke Makkah dan mengasuh anak-anaknya yang
ramai. Muhammad juga telah
menjadi sebahagian dari
keluarganya. Baginda mengikut
mereka ke pekan-pekan yang
berdekatan dan mendengar sajak-sajak oleh penyair-penyair
terkenal dan pidato-pidato oleh
penduduk Yahudi yang anti Arab. Baginda juga diberi tugas sebagai
pengembala kambing. Baginda
mengembala kambing
keluarganya dan kambing
penduduk Makkah. Baginda selalu
berfikir dan merenung tentang kejadian alam semasa
menjalankan tugasnya. Oleh
sebab itu baginda jauh dari
segala pemikiran manusia nafsu
manusia duniawi. Baginda
terhindar daripada perbuatan yang sia-sia, sesuai dengan
gelaran yang diberikan iaitu “Al-
Amin”. Selepas baginda mula meningkat
dewasa, baginda disuruh oleh
bapa saudaranya untuk
membawa barang dagangan
Khadijah binti Khuwailid, seorang
peniaga yang kaya dan dihormati. Baginda melaksanakan
tugasnya dengan penuh ikhlas
dan jujur. Khadijah amat tertarik
dengan perwatakan mulia
baginda dan keupayaan baginda
sebagai seorang pedagang. Lalu dia meluahkan rasa hatinya
untuk berkahwin dengan
Muhammad yang berusia 25
tahun ketika itu. Wanita
bangsawan yang berusia 40
tahun itu sangat gembira apabila Muhammad menerima lamarannya
lalu berlangsunglah perkahwinan
mereka berdua. Bermulalah
lembaran baru dalam hidup
Muhammad dan Khadijah sebagai
suami isteri. Penurunan Wahyu Pertama Pada usia 40 tahun, Muhammad
telah menerima wahyu yang
pertama dan diangkat sebagai
nabi sekelian alam. Ketika itu,
baginda berada di Gua Hira’ dan
sentiasa merenung dalam kesunyian, memikirkan nasib
umat manusia pada zaman itu.
Maka datanglah Malaikat Jibril
menyapa dan menyuruhnya
membaca ayat quran yang
pertama diturunkan kepada Muhammad. “Bacalah dengan nama Tuhanmu
Yang menciptakan” (Al-’Alaq,
96: 1) Rasulullah pulang dengan penuh
rasa gementar lalu diselimuti oleh
Khadijah yang cuba
menenangkan baginda. Apabila
semangat baginda mulai pulih,
diceritakan kepada Khadijah tentang kejadian yang telah
berlaku. Kemudian baginda mula
berdakwah secara sembunyi-
sembunyi bermula dengan kaum
kerabatnya untuk mengelakkan
kecaman yang hebat daripada
penduduk Makkah yang menyembah berhala. Khadijah
isterinya adalah wanita pertama
yang mempercayai kenabian
baginda. Manakala Ali bin Abi Talib
adalah lelaki pertama yang
beriman dengan ajaran baginda.Dakwah yang sedemikian
berlangsung selama tiga tahun di
kalangan keluarganya sahaja. Dakwah Secara Terang-terangan Setelah turunnya wahyu
memerintahkan baginda untuk
berdakwah secara terang-
terangan, maka Rasulullah pun
mula menyebarkan ajaran Islam
secara lebih meluas. “Maka sampaikanlah olehmu
secara terang-terangan segala
apa yang diperintahkan
(kepadamu) dan berpalinglah dari
orang-orang yang musyrik.” (Al-
Hijr, 15:94) Namun begitu, penduduk Quraisy
menentang keras ajaran yang
dibawa oleh baginda. Mereka
memusuhi baginda dan para
pengikut baginda termasuk Abu
Lahab, bapa saudara baginda sendiri. Tidak pula bagi Abu Talib,
dia selalu melindungi anak
saudaranya itu namun dia sangat
risau akan keselamatan
Rasulullah memandangkan
tentangan yang hebat dari kaum Quraisy itu. Lalu dia bertanya
tentang rancangan Rasulullah
seterusnya. Lantas jawab
Rasulullah yang bermaksud: “Wahai bapa saudaraku, andai
matahari diletakkan diletakkan di
tangan kiriku dan bulan di
tangan kananku, agar aku
menghentikan seruan ini, aku
tidak akan menghentikannya sehingga agama Allah ini meluas
ke segala penjuru atau aku
binasa kerananya” Baginda menghadapi pelbagai
tekanan, dugaan, penderitaan,
cemuhan dan ejekan daripada
penduduk-penduduk Makkah
yang jahil dan keras hati untuk
beriman dengan Allah. Bukan Rasulullah sahaja yang menerima
tentangan yang sedemikian,
malah para sahabatnya juga
turut merasai penderitaan
tersebut seperti Amar dan Bilal
bin Rabah yang menerima siksaan yang berat. Kewafatan Khadijah dan Abu
Talib Rasulullah amat sedih melihat
tingkahlaku manusia ketika itu
terutama kaum Quraisy kerana
baginda tahu akan akibat yang
akan diterima oleh mereka nanti.
Kesedihan itu makin bertambah apabila isteri kesayangannya
wafat pada tahun sepuluh
kenabiaannya. Isteri bagindalah
yang tidak pernah jemu
membantu menyebarkan Islam
dan mengorbankan jiwa serta hartanya untuk Islam. Dia juga
tidak jemu menghiburkan
Rasulullah di saat baginda
dirundung kesedihan. Pada tahun itu juga bapa
saudara baginda Abu Talib yang
mengasuhnya sejak kecil juga
meninggal dunia. Maka
bertambahlah kesedihan yang
dirasai oleh Rasulullah kerana kehilangan orang-orang yang
amat disayangi oleh baginda. Penghijrahan Ke Madinah Tekanan daripada orang-orang
kafir terhadap perjuangan
Rasulullah semakin hebat selepas
pemergian isteri dan bapa
saudara baginda. Maka Rasulullah
mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah berikutan
ancaman daripada kafir Quraisy
untuk membunuh baginda. Rasulullah disambut dengan
meriahnya oleh para penduduk
Madinah. Mereka digelar kaum
Muhajirin manakala penduduk-
penduduk Madinah dipanggil
golongan Ansar. Seruan baginda diterima baik oleh kebanyakan
para penduduk Madinah dan
sebuah negara Islam didirikan di
bawah pimpinan Rasulullas s.a.w
sendiri. Negara Islam Madinah Negara Islam yang baru dibina di
Madinah mendapat tentangan
daripada kaum Quraisy di Makkah
dan gangguan dari penduduk
Yahudi serta kaum bukan Islam
yang lain. Namun begitu, Nabi Muhammad s.a.w berjaya juga
menubuhkan sebuah negara Islam
yang mengamalkan sepenuhnya
pentadbiran dan perundangan
yang berlandaskan syariat Islam.
Baginda dilantik sebagai ketua agama, tentera dan negara.
Semua rakyat mendapat hak
yang saksama. Piagam Madinah
yang merupakan sebuah kanun
atau perjanjian bertulis telah
dibentuk. Piagam ini mengandungi beberapa fasal yang melibatkan
hubungan antara semua rakyat
termasuk kaum bukan Islam dan
merangkumi aspek politik, sosial,
agama, ekonomi dan
ketenteraan. Kandungan piagam adalah berdasarkan wahyu dan
dijadikan dasar undang-undang
Madinah. Islam adalah agama yang
mementingkan kedamaian. Namun
begitu, aspek pertahanan amat
penting bagi melindungi agama,
masyarakat dan negara.
Rasulullah telah menyertai 27 kali ekspedisi tentera untuk
mempertahan dan menegakkan
keadilan Islam. Peperangan yang
ditempuhi baginda ialah Perang
Badar (623 M/2 H), Perang Uhud
(624 M/3 H), Perang Khandak (626 M/5 H) dan Perang Tabuk
(630 M/9 H). Namun tidak semua
peperangan diakhiri dengan
kemenangan. Pada tahun 625 M/ 4 Hijrah,
Perjanjian Hudaibiyah telah
dimeterai antara penduduk Islam
Madinah dan kaum Musyrikin
Makkah. Maka dengan itu,
negara Islam Madinah telah diiktiraf. Nabi Muhammad s.a.w.
juga telah berjaya membuka
semula kota Makkah pada 630
M/9 H bersama dengan 10 000
orang para pengikutnya. Perang terakhir yang disertai
oleh Rasulullah ialah Perang
Tabuk dan baginda dan
pengikutnya berjaya mendapat
kemenangan. Pada tahun
berikutnya, baginda telah menunaikan haji bersama-sama
dengan 100 000 orang
pengikutnya. Baginda juga telah
menyampaikan amanat baginda
yang terakhir pada tahun itu
juga. Sabda baginda yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia,
ketahuilah bahawa Tuhan kamu
Maha Esa dan kamu semua
adalah daripada satu keturunan
iaitu keturunan Nabi Adam a.s.
Semulia-mulia manusia di antara kamu di sisi Allah s.w.t. ialah
orang yang paling bertakwa. Aku
telah tinggalkan kepada kamu
dua perkara dan kamu tidak
akan sesat selama-lamanya
selagi kamu berpegang teguh dengan dua perkara itu, iaitu
kitab al-Quran dan Sunnah
Rasulullah.” Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w Baginda telah wafat pada bulan
Jun tahun 632 M/12 Rabiul Awal
tahun 11 Hijrah. Baginda wafat
setelah selesai melaksanakan
tugasnya sebagai rasul dan
pemimpin negara. Baginda berjaya membawa manusia ke
jalan yang benar dan menjadi
seorang pemimpin yang
bertanggungjawab, berilmu dan
berkebolehan. Rasulullah adalah
contoh terbaik bagi semua manusia sepanjang zaman.